Nabi Sulaiman Kawan Jin & Haiwan

NABI Sulaiman dianugerahkan Allah kebijaksanaan sejak remaja lagi.
Beliau juga memiliki pelbagai keistimewaan, termasuk mampu bercakap,
memahami dan memberi arahan terhadap jin dan haiwan sehingga semua
makhluk itu mengikuti kehendaknya.

Allah berfirman: “Dan sesungguhnya Kami telah memberikan ilmu kepada
Daud dan Sulaiman dan keduanya mengucapkan; segala puji bagi Allah yang
melebihkan kami dan banyak hambanya yang beriman. Dan Sulaiman telah
mewarisi Daud dan dia berkata; Wahai manusia, kami telah diberi
pengertian tentang suara burung dan kami diberi segala sesuatu.
Sesungguhnya semua ini benar-benar satu anugerah yang nyata.”

Kebijaksanaan Sulaiman dapat dilihat melalui pelbagai peristiwa yang
dilaluinya. Misalnya, beliau cuba mengetengahkan idea kepada bapanya,
Nabi Daud bagi menyelesaikan perselisihan antara dua pihak,
masing-masing membabitkan pemilik haiwan ternakan dan kebun.

Walaupun ketika itu usianya masih muda, pendapatnya bernas. Mulanya Nabi
Daud memutuskan pemilik haiwan supaya menyerahkan ternakannya kepada
pemilik kebun sebagai ganti rugi disebabkan ternakannya memasuki dan
merosakkan kebun itu.

Sulaiman yang mendengar keputusan bapanya mencelah: “Wahai bapaku,
menurut pandanganku, keputusan itu sepatutnya berbunyi; kepada pemilik
tanaman yang telah musnah tanaman diserahkanlah haiwan jirannya untuk
dipelihara, diambil hasilnya dan dimanfaatkan bagi keperluannya.

“Manakala tanamannya yang binasa itu diserahkan kepada jirannya,
pemilik ternakan untuk dijaga sehingga kembali kepada keadaan asal.
Kemudian masing-masing menerima kembali miliknya, sehingga dengan cara
demikian masing-masing pihak tidak ada yang mendapat keuntungan atau
menderita kerugian lebih daripada sepatutnya.”

Pendapat yang dikemukakan Sulaiman dipersetujui kedua-dua pihak. Malah
orang ramai yang menyaksikan perbicaraan itu kagum dengan kebolehan
beliau menyelesaikan perselisihan terbabit.

Bertitik tolak daripada peristiwa itu, kewibawaan Sulaiman semakin
terserlah dan ia juga sebagai bibit permulaan kenabian Sulaiman. Melihat
kecerdasan akal yang ditonjolkannya itu, Nabi Daud menaruh kepercayaan
dengan mempersiapkannya sebagai pengganti dalam kerajaan Bani Israel.

Namun, abangnya Absyalum tidak meredai beliau melangkah bendul dalam
hiraki pemerintahan itu, malah mendakwa dia yang sepatutnya dilantik
putera mahkota kerana Sulaiman masih muda dan cetek pengalaman.
Absyalum mahu mendapatkan takhta itu daripada bapa dan adiknya. Justeru,
dia mula menunjukkan sikap baik terhadap rakyat, dengan segala masalah
mereka ditangani sendiri dengan segera, membuatkan pengaruhnya semakin
meluas.

Sampai satu ketika, Absyalum mengisytiharkan dirinya sebagai raja,
sekali gus merampas kekuasaan bapanya sendiri. Tindakannya itu
mengakibatkan huru-hara di kalangan Bani Israel. Melihatkan keadaan itu,
Nabi Daud keluar dari Baitulmaqdis, menyeberangi Sungai Jordan menuju ke
Bukit Zaitun.

Tindakannya itu semata-mata mahu mengelakkan pertumpahan darah, namun
Absyalum dengan angkuh memasuki istana bapanya. Di Bukit Zaitun, Nabi
Daud memohon petunjuk Allah supaya menyelamatkan kerajaan Bailtulmaqdis
daripada dimusnahkan anaknya yang derhaka itu.

Allah segera memberi petunjuk kepada Nabi Daud, iaitu memerangi
Absyalum. Namun, sebelum memulakan peperangan itu, Nabi Daud berpesan
kepada tenteranya supaya tidak membunuh anaknya itu, malah jika boleh
ditangkap hidup-hidup.

Bagaimanapun, kuasa Allah melebihi segalanya dan ditakdirkan Absyalum
mati juga kerana dia mahu bertarung dengan tentera bapanya.

Kemudian, Nabi Daud kembali ke Baitulmaqdis dan menghabiskan sisa
hidupnya selama 40 tahun di istana itu sebelum melepaskan takhta kepada
Sulaiman.

Kewafatan Nabi Daud memberikan kuasa penuh kepada Nabi Sulaiman untuk
memimpin Bani Israel berpandukan kebijaksanaan yang dianugerah Allah.
Beliau juga dapat menundukkan jin, angin dan burung, sehingga dapat
disuruh melakukan apa saja, termasuk mendapatkan tembaga dari perut bumi
untuk dijadikan perkakasan.

Firman Allah bermaksud: “Dan Kami (tundukkan) angin bagi Sulaiman
yang perjalanannya pada waktu petang, sama dengan perjalanan sebulan dan
Kami alirkan cairan tembaga baginya. Dan sebahagian daripada jin ada
yang bekerja di hadapannya (di bawah kekuasaannya) dengan izin Tuhannya.
Dan siapa yang menyimpan antara mereka daripada perintah Kami, Kami
rasakan kepadanya azab neraka yang apinya menyala-nyala.

__._,_.___

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.